Betol-betol Hangat! Kongsi sasar RM10 juta

Oleh Kaki Wayang on


SYARIKAT produksi MIG Productions sentiasa berusaha mempertingkatkan jumlah kutipan tiket setiap filem terbitan mereka sekali gus memecahkan rekod kutipan sedia ada. Jika sebelum ini Ngangkung merupakan filem tempatan yang paling tinggi kutipan tiketnya iaitu RM8.4 juta namun syarikat produksi milik bukan bumiputra itu masih belum berpuas hati.

Ini kerana menerusi filem terbaru MIG berjudul Kongsi, penerbitnya David Teo mensasarkan kutipan sebanyak RM10 juta selepas ia ditayangkan sejak 12 Mei lalu di seluruh negara. Menurut penerbit yang berasal dari Segamat, Johor itu, dia optimis filem kedua arahan Farid Kamil tersebut mampu mencapai sasaran berdasarkan strategi-strategi yang telah diaturnya.

“Untuk filem Kongsi ia ditayangkan di hampir 100 pawagam besar dan kecil di seluruh negara. Ini merupakan jumlah tayangan yang paling besar dalam sejarah tayangan filem terbitan MIG. 

“Selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan, kami juga telah menyiarkan sedutan filem ini di YouTube di mana sehingga kini hampir 900,000 orang menontonnya.

“Dengan iklan yang turut disiarkan di akhbar berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil saya yakin lebih ramai penonton akan menyaksikannya,” ujarnya selepas pratonton Kongsi baru-baru ini.

Pada pratonton di pawagam Cathay, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, David juga yakin dengan tarikan-tarikan terutama adegan-adegan cemas dalam filem itu. Jelasnya, antara yang menarik ialah adegan kejar mengejar antara kereta peronda polis dengan pelakon utama Kongsi, Shahiezy Sam yang mana kenderaan yang terbabit, musnah sama sekali.

“Ini adalah filem terbitan MIG yang paling mahal iaitu berjumlah RM2.5 juta. Sebuah kereta jenis Proton Waja juga musnah sewaktu penggambaran filem ini.

“Saya anggap filem ini tarafnya seperti filem Hollywood biarpun menggunakan bajet yang boleh dianggap kecil. Sewaktu proses adunan diadakan di Siam Lab, Bangkok, Thailand, ramai yang terkejut.

“Mereka kata Kongsi sepatutnya mencecah puluhan juta ringgit berdasarkan kualiti dan adegan-adegan yang dipaparkan. Sebab itu sasaran RM10 juta itu realistik,” ujarnya.

Sementara itu, selaku pengarah Kongsi, Farid Kamil berpuas hati kerana kebanyakan permintaannya untuk menjayakan filem itu dipenuhi oleh pihak penerbit. Namun, pada masa sama semua itu belum mampu memuaskan hatinya sebagai pengarah kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam filem tersebut.

“Memang ada kekurangan dalam filem itu tetapi saya tidak mahu sebutkannya di sini. Saya nampak kelemahan itu pun selepas filem itu berjaya disiapkan penggambarannya.

“Ini kerana, saya mahu simpan kelemahan-kelemahan itu untuk saya pelajari sendiri untuk filem-filem arahan saya yang seterusnya kelak,” komennya.

Bagaimanapun, Shahiezy Sam yang melakonkan watak utama sebagai Temulak dalam Kongsi pula berasa puas kerana kebanyakan adegan lagak ngeri dalam filem itu dilakukannya sendiri. Malah, dia begitu teruja melakonkan watak itu yang juga memerlukannya menuturkan dialog dalam dialek Kelantan dan Siam di mana ia yang julung-julung kali dilakonkannya.

“Hampir 80 peratus adegan lasak dalam filem ini saya melakonkan sendiri. Malah, saya juga terpaksa berlatih untuk melakonkan adegan pertarungan.

“Walaupun saya tidak pernah bergaduh tetapi saya puas dapat melakonkan adegan-adegan seperti itu. Cuma saya lebih banyak belajar dialog dalam dialek Kelantan dan Siam,” jelasnya.

Kongsi mengisahkan tentang Temulak seorang lelaki dari Selatan Thailand yang dihantar ke Kuala Lumpur bagi mengkucar-kacirkan kumpulan-kumpulan samseng di situ. Selain Shahiezy Sam, filem itu turut dilakonkan oleh Norliana Samsudin, Putri Mardiana, Shafie Jaafar, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Verasingam dan Azad Jazmin.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...