Edisi Tahukah Anda! Preview Filem Iron Man 3: Iron Man 3 Diterbitkan Di China!

Oleh Kaki Wayang on


THE Walt Disney Company China, Marvel Studios dan DMG Entertainment kelmarin mengumumkan hasrat penerbitan bersama filem adiwira, Iron Man 3, di negara Tembok Besar itu.

Di bawah persetujuan berkenaan, DMG Entertainment akan turut melabur dalam produksi filem ketiga francais popular ini, menguruskan proses produksi bersama negara itu dan bertindak sebagai penerbit bersekutu filem berkenaan di sana.

Bahagian penerbitan filem itu di China akan dilakukan menerusi DMG Entertainment, dengan penyelarasan bersama produksi dan pasukan kreatif Marvel Studios. DMG juga bertindak sebagai pengedar Iron Man 3 di negara yang mempunyai jumlah penduduk teramai di dunia, bekerjasama dengan The Walt Disney Company China.

Iron Man 3 muncul edisi ketiga dalam francais filem bernilai bilion dolar daripada Marvel itu, dan dibintangi pelakon asalnya seperti Robert Downey Jr (sebagai hartawan senjata, Tony Stark), Gwyneth Paltrow (Pepper Potts) dan Don Cheadle (James “Rhodey” Rhodes).

Filem terbaru dalam siri Iron Man ini diterbitkan oleh Kevin Feige, manakala Alan Fine, Stan Lee, Louis D'Esposito, Charles Newirth, Victoria Alonso, Stephen Broussard dan Dan Mintz pula menggalas jawatan penerbit eksekutif.

Berdasarkan skrip tulisan Drew Pearce, filem ini diarahkan Shane Black (Kiss Kiss Bang Bang). Filem terbabit akan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 13 Mei tahun depan.

Menurut Pengarah Urusan The Walt Disney Company China, Stanley Cheung, populariti francais Marvel itu di seluruh dunia mencipta peluang buat mereka untuk menghasilkan sebuah lagi filem penuh aksi buat peminat.

“Penerbitan bersama Iron Man 3 di China menjadi bukti betapa pentingnya khalayak sebelah sini buat Disney, serta keupayaan industri tempatan untuk menghasilkan judul blockbuster,” katanya.

Pengurus Besar Operasi dan Kewangan Marvel Studios, Rob Steffens, pula berkata, mereka cukup teruja untuk bekerjasama dengan DMG, dalam membawa wira besi itu ke pasaran negara China dengan cara penuh bergaya.

“Kami yakin cerita Marvel akan terus dinikmati oleh penonton China, dan dengan menyuntik cita rasa tempatan serta bekerja bersama rakan kongsi baru, ia tentu sekali akan menambah keinginan orang ramai untuk menyaksikan filem ini,” ujarnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DMG, Dan Mintz pula, kolaborasi mereka bersama Disney dan Marvel menjadi peristiwa penting dalam landskap hiburan global berikutan inilah kerjasama bernilai berbilion dolar pertama yang diterbitkan antara Hollywood dan China.

“Francais Iron Man sudah pun membuktikan kejayaannya di seluruh dunia dan kami akan terus membawa siri ini ke peringkat lebih tinggi dengan penghasilan judul ketiganya.

“Filem ini akan terus dikembangkan jalan ceritanya, serta menampilkan bintang tersohor antarabangsa, di samping aksi menakjubkan yang akan mengagumkan peminat di mana-mana saja termasuk China, iaitu pasaran box office kedua terbesar dunia," jelasnya.

Penggambaran filem adiwira terbabit akan berlangsung Mei ini di Amerika Syarikat dan disambung di China pada penghujung musim panas nanti.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...